Friday, October 29, 2010

Surat untuk puteriku Baby Ainin Sofiya….

baby ku

Assalamualaikum sayang….12 tahun yang lalu ketika  dingin subuh kau dilahirkan ke dunia. Lahirmu  membawa sejuta sinar kebahagiaan buat kita sekeluarga…seorang puteri yang sekian lama ditunggu kehadirannya kini telah lahir ke dunia…

Kau tentu tak lupa…suatu masa dulu mummy pernah bercerita padamu bahawa kelahiranmu hampir-hampir meragut nyawa mummy ketika mahu melahirkan mu…Mummy mengalami tumpah darah yang luar biasa sebaik saja kau selamat tiba dalam pelukan. Tapi itu semua tidak terasa kerana kedatanganmu telah membuatkan mummy leka dan terlupa segala kesakitan dan kesulitan. Sepasang mata kecilmu yang perlahan-lahan terbuka dan rengekkan suara yang nyaring merdu menambahkan lagi kegembiraan mummy.

Mummy masih ingat lagi sedang mummy leka menyusu mu tiba-tiba sakit yang teramat sangat datang menyerang dan saat itulah semua jururawat dan doktor yang bertugas menjadi kelam kabut dan menyorong mummy ke unit kecemasan semula. Mummy banyak kehilangan darah…rupanya mummy pengsan dan tidak tahu apa yang telah berlaku seterusnya…Bila mummy tersedar mummy dah pun berada di wad semula.

Anakku Baby yang manis,….

Sepanjang kau berada di wad…kau langsung tak banyak kerenah, mungkin kau mengerti mummy tak berdaya untuk  bangun dan bergerak langsung cuma terbaring di katil. Kau pula tidak mahu menyusu botol dan tidak merengek sedikit pun walaupun kelaparan. Puas sudah jururawat memujukmu untuk cuba membasahkan tekak dengan setitik susu formula melalui kapas ( kerana kau tak pandai menyusu botol)

Semua orang suka bila mengendongmu dan bermain agah mengangah…walaupun kau baru berusia dua hari tapi badan mu yang montel pejal dengan berat  hampir 3 kilogram meembuatkan kau menjadi bayi yang popular ketika itu…malah doktor-doktor yang bertugas pun sangat suka mengendong mu.

Kulitmu yang putih gebu kemerahan dengan bibir munggil comel merah samar, bening mata yang menggasyikkan membuatkan semua orang jatuh cinta dengan mu…maka kau di gelar oleh para doktor dan jururawat di situ sebagai Baby Soya….

Sayangku….

Kau membesar di depan mata kami hari demi hari…dalam usiamu menjangkau lima bulan kau sudah pandai menyebut ma dan pa. Tawamu yang bergema dalam rumah opah menambahkan keceriaan kami, apatah lagi kedua abangmu yang tengah nakal waktu itu suka mengusikmu.

Kau tidak banyak kerenah jika dibandingkan dengan kedua abangmu yang sentiasa mencipta gelagat untuk tarik perhatian kami. Mereka cemburu kerana kamu telah menjadi tumpuan semua orang…..

Ketika kau mula belajar bertatih, papa sudah pun membelikan sepatu pertama untukmu. Amat lucu sekali kerana kasut comel itu akan berbunyi Prettt prettt prettt bila kau mula melangkah ! Keadaan ini menjadikan kau menangis ketakutan kerana menyangka ada kodok dalam kasut mu.

Papa mengajar kamu bersolat dan berpuasa ketika usiamu menjangkau empat tahun. Tidak pula kau memberontak apabila disuruh berpuasa di bulan Ramadhan bersama-sama. Bila kau letih , kau tidur seharian. Kau juga tak pernah meninggalkan waktu solat lima waktu …dengan telekung yang gedoboh besar kau cuba menunaikan kewajipanmu pada Allah. Segala bacaan dalam solat kamu boleh hafa ldengan lancar kerana kamu dah pun mengenal Al Quran bila berumur 3 tahun….

Sayangku Baby,…bertuah rasanya  kami menjadi orang tuamu kerana keletah dan lakumu amat menyenangkan….sekali sekala sahaja kau buat perangai bila permainan mu direbut abang-abang. Kau selalu beralah dengan abang-abangmu dan sepupu-sepupumu ketika bermain. Kau sentiasa membenarkan mereka menang….

Kau mengenal alam persekolahan awal sangat….baru berusia 3 tahun kau mummy tumpangkan dalam kelas tadika islam bersama abang-abangmu ketika  itu masing-masing berumur empat dan lima tahun! Bukan apa, papamu mahu kau sentiasa bersama adik beradikmu supaya kau tak terpisah dan  ada teman untuk bermain…oleh itu puaslah mummy dan opah memujuk cikgu tadika itu supaya menerimamu walaupun baru berusia 3 tahun. Alhamdulillah…pandai pula kau membawa diri di dalam kumpulan kawan-kawan yang jauh lebih berusia daripadamu. Maka saat itulah bermulanya langkahmu meniti lorong-lorong kehidupan di bimbing guru-guru tadikamu.

Apa yang mencuit hati kami ialah telatahmu yang jauh lebih matang dari abang-abangmu…dalam apa jua keadaan kamu bertindak seperti kakak sulung kepada dua saudaramu ini meskipun kau  cuma adik  yang bongsu ! Jika mummy bawa sebungkus nasi goreng dan tiga ketul ayam goreng kau akan bahagi-bahagikan makanan ini dengan adil antara kamu bertiga. Begitu juga halnya jika duit raya yang diberikan oleh tetamu yang datang ke rumah itu sekeping not sepuluh ringgit perlu dikongsi bertiga,  babylah yang paling kecoh untuk tukarkan duit kecil dengan papa supaya boleh dibahagikan sama rata antara kamu 3 beradik.  Satu lagi sikap kamu ialah bertindak seperti pengasuh pada kedua abang-abangmu ….kamu akan menjaga kebajikan dua hero ini apabila ketiadaan mummy ketika berkursus di luar daerah. Baby akan membantu papa menyediakan pakaian bersih untuk persalinan abang-abangmu supaya mereka tidak memakai pakaian yang sama setelah selesai mandi. Baby juga kan ke dapur menyediakan minuman teh ais kegemaran papa dan 2 oarang hero mama tu…..kadang kala Baby juga akan memasak nasi bila papa beli lauk untuk makan tengah hari.

Bila masa beredar kau  membesar menjadi bertambah cerdik dan matang walaupun baru berusia 12 tahun ! Hari ini 28 Oktober adalah hari lahirmu….kau telah pun siap membuat permintaan dari mummy dan papa untuk kami tunaikan sebagai hadiah hari lahirmu….sebutkan lah sayang dan mintalah apa yang kau mahu jika dalam kemampuan kami, insyaallah akan kami tunaikan. Tapi…katamu kamu hanya mahu kami mendoakan agar kamu lulus dengan cemerlangnya dalam UPSR yang lalu. Itu saja? Baby kata cukuplah…semuanya dah kau perolehi dari kami….itu sudah memadai. Baiknya hati kamu sayang.

Sayangku intan permatan hati mummy….petang semalam kau beritahu bahawa kawan-kawan dan guru-gurumu akan meraikan hari lahirmu ini di sekolah sebagai menghargaimu. Kesian mereka, demi mengembirakan hatimu sanggup pula mereka bersusah payah….masing-masing membawa pelbagai makanan dan minuman dan kau meminta mummy membeli sebiji kek coklat untuk dipotong sewaktu majlis tu nanti sambil meniup lilin dan bertepuk tangan beramai-ramai. Maniskan ? Mereka semua amat sayangkan kamu….maafkan mummy sayang kerana tak sempat untuk menyedia atau  menempah makanan dan kudapan ringan untuk majlis itu kerana kesuntukan masa. Semoga kau tak berkecil hati ya.

Hari ini ketika pulang, kau dengan riang menceritakan kemeriahan majlis hari jadimu di sekolah tadi. Banyak juga hadiah yang diterima dari kawan-kawan. Papa sibuk sekarang, mungkin sebelah malam nanti bolehlah kita keluar makan untuk meraikan hari lahirmu.

Semoga Baby gembira di hari lahir Baby kali ini, walau kita tak sambutnya dengan majlis yang besar-besaran, cukuplah secara sederhana seperti ini. Bertambah manis lagi kawan-kawan Facebook Baby dan Mummy seperti  Lolly Luvfareda, Auntie Ana Sarina, Auntie Norziana, Auntie Shafrela, Cheq Ya , Pak Ngah dan lain-lain mengucapkan selamat hari lahir untuk Baby di FB.

Baby yang baik, harapan mummy dan papa biarlah hari ini sebagai permulaan kau meniti perjalanan hidupmu yang masih panjang…. semoga dikau sentiasa tabah dan cekal menghadapi apa jua rintangan hidup. Jadikanlah pegangan agama yang papa titipkan dalam hatimu selalu sebagai benteng hidupmu. Jadikanlah juga Al Quran dan hadith sebagai rujukan dan panduanmu….Rasulallah sebagai idolamu bukan yang lainnya.

Sayangku…. pinta mummy, jadilah seorang anak yang solehah yang tahu menghargai hidup, menghormati dan menyayangi mummy dan papa sepenuh jiwa ragamu, taatlah perintah Allah dan jauhi laranganNya. Bahagiakan lah sesiapa saja yang kau dampingi dan jangan sesekali kau menyakiti sesama makhluk Allah. Jika kau berduka cubalah mengadu padaNya dengan bertahajud dan bermunajat. Lapangkan hatimu  sentiasa dengan nikmat Allah berikan dan bersyukurlah. Bersangka baiklah dengan Allah …jika kamu berdepan dengan kesulitan kerana semuanya ada terselit hikmathNya yang baik untuk kita.

Selamat hari lahir sayang…….

Salam penuh cinta dan kasih,

Mummy.

28 Oktober 2010

5 comments:

  1. Eheeeee :)))


    baby, ingat mama selalu.

    akak. gune jenis tulisan ape kat entri ni eh ??

    ReplyDelete
  2. Lolly, tulisan? Kenapa ye? Akak pakai tulisan yg dah ready kat lappy abe jer...tatau ape nama? Susah baca ker?

    ReplyDelete
  3. nama cousin sy pun ainin sofiya..mesti comel tu..hehe~

    ReplyDelete
  4. btuah kakak dpt anak bciri solehah ^^

    ReplyDelete
  5. Caliph, alhamdulillah...syukur setakat ini Allah permudahkan urusan memelihara dan mendidik mereka. Terima kasih kerana sudi singgah di sini....

    ReplyDelete

 
© 2009 | Template designed by Yiedpozi @ Yiedpozi [Dot] Info