Thursday, October 28, 2010

50 sen sehari…..

Hujung tahun macam ni memang agak sibuk…..oh bukan agak sibuk tapi AMAT SIBUK! Macam-macam perkara yang mesti diselesaikan mengikut jadual. Guru katakan….

Bila dah jadi cikgu maka bersedialah menjadi seorang yang sentiasa sibuk. Bukan setakat memberi pendidikan pada anak-anak murid malah macam-macam lagi tugas yang kena pikul. Tapi itu semua tiada masalah…kami ikhlas dan senang hati menjalankan tugas demi anak bangsa dan negara!

Jadi guru kelas lagi lah sibuknya….isi rekod pelajar, kedatangan, key-in markah kurikulum dan ko kurikulum , bereskan hal-hal pinjaman buku teks,  memeriksa kertas jawapan hinggalah menguruskan kutipan wang bayaran itu dan ini.

Semasa aku kemaskinikan rekod pembayaran wang yuran baru aku terperasan hanya seorang pelajar sahaja yang belumn membuat bayaran penuh. Dia cuma bayar separuh sahaja. Ada catatan yang telah aku buat semasa menerima wang darinya bahawa dia akan menjelaskan yuran berkenaan dalam masa sebulan. Nampaknya dah pun penghujung tahun dan dia masih lagi belum datang menjelaskan yurannya.

Setelah disemak latar belakang pelajar ini rupanya keluarganya miskin…bapanya seorang pemandu lori dengan gaji yang tak seberapa. Ibunya pula suri rumah. adik beradik ramai dan masih bersekolah. Tak sampai hati aku nak mendesaknya….cuma bertanya boleh tak dia menjelaskan yurannya sebelum hujung bulan ini. Dia nampak sedih dan berjanji akan meminta wang bila bapanya pulang….

Suatu hari dia datang nmenemuiku……dua keping wang RM20 dia hulurkan. Dia juga meminta maaf kerana lewat menjelaskan baki yurannya. Aku tak marah pun sebenarnya  malah kesian pulak bila lihat air muka pelajar ini sedih saja.

Suatu hari dia tak hadir ke sekolah….tanpa surat cuti sakit dan tanpa pesanan apa-apa pun. Selang dua hari baru nampak mukanya di kelas….lesu dan masih tak sihat. Aku tanya kenapa dia cuti 2 hari dan meminta MC. Dia mengeluarkan sepucuk surat dari beg sekolahnya yang berlubang di tepi….surat permohonan maaf dari ibunya. Oh..rupanya dia gastrik. Muntah dan sakit perut sebab itu dia tak boleh datang ke sekolah.

Waktu rehat seorang kawan baiknya datang menemuiku di bilik guru….

Cikgu, sebenarnya Aman jatuh sakit sebab tak makan….dia kumpul duit untuk bayar yurannya. Duit poket yang emak dia bagi 50 sen sehari itu dikumpulnya setiap hari tanpa berbelanja sesen pun….

 

Habis tu Aman makan tak ? Ada dia bawa bekal? 50 sen sahaja duit belanja ? Seketul kuih pun dah 50 sen….

Bertalu-talu soalan aku bagi bila dapat tahu hal ini. Terkejut pun ada sebab di zaman sekarang dengan wang 50 sen apa sangatlah yang boleh dibeli. Kuih dikantin pun 30 sen paling murah. Minuman seringgit.

Itu saja yang mak dia mampu bagi cikgu. Lama dia kumpul untuk duit yuran…..dia sakit perut sebab lapar. Sebelum datang ke sekolah dia tak pernah bersarapan pun sebab tak ada makanan pun di rumahnya . Kadang kala saya kongsi makanan dengan dia tapi dia selalu menolak.

Terkunci lidah aku untuk terus berkata……baru aku sedar anak ini begitu baik sekali kerana dia seboleh mungkin tidak mahu menyusahkan keluarganya walaupun itu tanggung jawab kedua orang tuanya. Kagum aku dengan anak murid ku ini.

Sebelum loceng akhir berbunyi aku datang menemui Aman ….

Kenapa awak tak beritahu cikgu yang awak betul-betul susah ?

Maafkan saya…saya tak nak menyusahkan orang lain.

Tapi awak dah pun mengabaikan kesihatan awak. Jika awak datang beritahu keadaan awak mungkin pihak sekolah boleh bantu.

Aman cuma tersengih saja……aku tau dalam hatinya dia tentu akan gembira bila dapat tahu yang dia tak akan berlapar berpanjangan lagi di sekolah tahun depan… wang 50 sen itu nanti bolehlah dia berbelanja di kantin agar perutnya tidak sakit lagi….

No comments:

Post a Comment

 
© 2009 | Template designed by Yiedpozi @ Yiedpozi [Dot] Info