Saturday, January 9, 2010

Rindu aku pada Abah...

Abah tau tak……

Sekarang ni kak na rasa sangat rindukan abah….
Masih terbayang wajah abah yang tenang, tabah, ceria, lucu dan kadang-kadang garang. Kak na dah tak ada tempat nak luahkan masalah bila abah dah pergi. Abah lain dari yang lain. Abah boleh bercakap soal apa bidang sekalipun. Politik, gossip artis, model terbaru handfon, kereta dan macam-macam lagi….. Kak na rasa abah seorang yang hebat. Meskipun pelajaran abah setakat sekolah rendah tanpa kelulusan tapi abah banyak pengetahuan.

Abah tak masuk siber café tapi abah dah macam layar internet bila setiap pagi melepak kedai kopi Nora berbual dengan kenalan. Sejak abah dah pencen dari kerja sebagai pengecop batik abah hanya boleh tolong mama jual kuih. Abah suka kerja baru ni….

Abah…

Kak na amat terkilan dan sedih bila mengenangkan banyak perkara yang kita rancangkan dengan adik-adik tak kesampaian. Abah kepingin merasa berteduh di rumah baru. Rumah lama abah pun dah uzur sangat lagipun bukan milik abah. Sebab itulah abah tak terkilan jika kita semua tak baiki rumah ini. Abah tak perlukan rumah batu besar dan indah cuma cukup untuk duduk berlindung. Ada bilik tempat beradu dan dapur tempat ma masak dan kita makan ramai-ramai. Ada ruang tamu kecil pun tak mengapa asalkan dapat berehat dengan anak cucu. Kak na dan adik-adik dah berpakat untuk buat sumbangan bangunkan rumah idaman abah tapi..... abah tak sempat melihat walau tiang rumahnya berdiri pun. Abah, cepatnya abah pergi.....

Abah janji nak tunggu kak na balik. Lepas Hannan keluar wad hari tu kak na mahu sangat abah dan ma datang Ipoh rumah kami. Hannan tentu gembira jika Tok abah datang. Malam itu semasa dalam wad kak na hubungi abah memberitahu perkembangan kesihatan Hannan pada abah. Lama juga kita berbual tapi kak na rasa abah tak berapa ceria. Suara abah tak gembira seperti selalu. Kak Na rasa tentu abah risau pasal cucunya. Banyak perkara abah pesan pada kak na tentang kesihatan Hannan. Hannan juga sempat bercakap dengan abah seketika sebelum talian diputuskan. Seperti biasa kak na berjanji akan telefon abah lagi. Tapi rupanya itulah perbualan kita yang terakhir......abah! Jika kak Na tahulah abah akan pergi dari kami pasti malam itu kak na segera balik menemui abah dan peluk abah. Kak na mahu minta ampun pada abah atas segala kesalahan kak na. Abah.... ampun kak na ya.

Abah oooo abah !

Bila terkenangkan abah, kak na kadang-kadang jadi terharu dan hiba. Kak na terlalu rindukan suara abah. Walaupun kak na jarang balik tapi boleh dikatakan setiap hari kak na akan telefon abah. Tak kiralah pukul berapa sekalipun abah pasti melayan kak na berbual. Selalunya kita berbual pasal kesihatan masing-masing. Yalah, kakna pun macam abah berpenyakit darah tinggi. Banyak petua abah berikan untuk kak na dan Hannan. Kadang-kadang kak na cerita pasal sakit gigi pada abah mintak pandangan abah. Lucukan.. abah dah macam doktor pula. Satu yang kak na kagum sangat dengan abah, apa yang abah cakap semuanya betul. Masih ingat lagi kak na ketika mula-mula cabut gigi geraham bongsu tahun lalu. Macam-macam abah pujuk supaya kak na berani pergi ke klinik gigi. Selesai je gigi dicabut, kak na telefon abah beritahu dan selamat. Abah ketawa. Hairannya ... kata abah , ” jangan dibuka kapas macam tembakau tu. Itu ubat mati darah. Luka pun cepat baik. ”

Kak na selalu mengadu pada abah tentang banyak perkara dalam kehidupan kak na sebagai ibu, isteri, menantu, anak dan guru. Baiknya abah .... abah suka beri nasihat dan pandangan untuk kak na. Abah tak pernah mengajar kak na buat benda-benda tak baik tapi abah ajar kak na bersabar dan bertahan seta bijak selesai masalah. Kak na tahu abah sangat sayangkan anak-anak.

Abah....

Kak na ingat lagi kata-kata abah suatu hari pada kakna tentang anak-anak abah.....

Che ja... banyak menolong, jika tidak kerana ada che ja dan abe ha susah juga abah nak bergantung. Tapi che ja pemarah sikit, cepat terasa hati tapi dia baik hati. Abah suka walau dia kadang-kadang suka naik angin.

Che ti.... Abah ingat masa dia kecil dulu. Berpenyakit. Susah jaga. Budak ni ikut kata hati tapi abah puji sebab dia kuat semangat. Badan kecil tapi berani. Takut abah bila dia bawa kereta laju-laju masa ronda keliling KL dengan abah dan ma.

Che yo.... Abah sayang anak lelaki seorang ni, tapi abah kecewa sebab Ayo selalu lupa abah. Ayo suka buat hal sendiri.... abah mahu Ayo jaga abah, ma dan adik-adik yang kecil ni. Ayo jangan kawan dengan kawan-kawan tak tentu hala. Jaga tingkah laku di tempat orang. Jangan nak tunjuk kuat nanti sendiri yang rugi. Baliklah duduk di sini dengan abah dan ma. Cari je kerja kat sini. Abah bukan nak duit Ayo tapi tak nak Ayo merana di tempat orang. Kak na tahu tak.... baju-baju dan seluar abah banyak dalam almari tu untuk Ayo bila dia kerja nanti ! Untung dia ni tak payah nak beli baju lagi bila dapat kerja. Abah tak sabar tengok Ayo bergaya dengan kemeja dan kot.

Che Nda…. Kesian budak ni. Belajar tinggi tapi rezeki belum ada lagi. Abah harap kak na tolong adik cari kerja. Mintak la Abduh tolong kan dia bos kat MPKB ? Abah malu nak pergi jumpa demo sebab siapalah abah. Harap chenda dapat kerja yang sesuai. Boleh Bantu ma dan abah kat rumah. Lagi pun dia nak nikah. Nak kumpul duit lah buat kenduri. Abah tak dapat nak sedia apa-apa pun untuk dia.

Che Nor.... Abah sedih mengenangkan che nor. Kesian dia, abah ingat dia akan kekal bahagia dengan budak tu tapi… tak pelah kak na, nanti che nor kerja dia jumpa orang yang lebih baik. Jika che nor dah dapat kerja abah memang nak dia selalu ada di sini. Che nor belajar rajin-rajin. Tengok je muka che nor abah terbayang arwah Mok su Nab. Ikal rambutnya menggingatkan abah pada arwah. Norasyikin… nama tu abah yang bagi. Dialah satu-satunya anak yang abah berikan nama. Lain dari yang lain.

Che Tin..... Budak berani ! Abah pun kagum dengan dia ni…. Tak takut sapa pun. Abah nak Che Tin selalu ingat ma dan abah. Bangga abah pada anak yang ini, berdikari di tempat belajar dan aktif pula. Kak na la yang bagi nama dia.... dia paling tinggi.

Che Ya….. Abah tengok che ya ni mirip sangat dengan arwah Maksu Nab. Jika Che Nor pada rambut tapi che ya pada raut wajah, jelingan mata dan rambut saling tak tumpah macam arwah. Dialah yang paling comel sekali. Abah rasa jika Che Ya pandai dan kerja tinggi tentu orang tak berani masuk meminang….. Kenapa abah? Ya la dia kan hebat….

Che Su…. Yang kecil sekali. Bongsu abah ni yang paling abah susah hati. Abah risau sebab abah dah tua. Kerja pun dah tak ada, Che Su masih kecil…. Jika abah tak ada macam mana dengan dia… Abah tengok, chesu macam kak na. Melawa saja dan suka bergaya. Abah harap Chesu akan selalu ada dekat abah dan ma. Teman kami berdua.

Aduhai abah....

Dah hampir sembilan bulan abah pergi meninggalkan kami... tak terasa pun masa berlalu. Seperti baru semalam abah bersama kami. Hilai tawa, usik mengusik dan senda gurau abah masih terpahat dihati kami. Kak na berharap benar agar abah menjelma dalam mimpi walau sekali. Mahu merasa kehangatan kasih sayang abah seperti dulu. Masih terbayang diruangan mata gelagat abah semasa hayat masih ada. Tergiang-giang lagi suara abah berdesir berbisik, ketawa dan berjenaka membuatkan air mata kak na laju berderai. Sesungguhnya pemergian abah telah mematahkan semangat dan impian kami. Biar apa pun .... Allah amat kasihkan abah sehingga abah dijemputNya terlalu cepat setelah enam bulan kembalinya Mak abah kerahmatullah. Perginya abah tanpa lama menanggung keperitan dan kesakitan. Abah telah ditakdirkan hanya 59 tahun sahaja menghuni dunia fana dan pergi meninggalkan kami untuk berada disisi Azali.

Duhai abah yang dikasihi,....

Kak na , ma dan adik-adik akan mengunjungi pusara abah selalu. Bila berada disisi pusara abah, kami terlau sebak dan berdukacita. Kaku nesanmu dilembah sepi menambah pilu dihati kami. Sesungguhnya ketentuan Illahi sudah tertulis begini nokhtah perjalanan hidup seorang abah yang tabah. Bersemadilah abah disisi pusara bondanya tercinta.

Sekalung doa dan Al Fatihah buat abah hadiah paling berharga dari kami anak-anak mu yang masih disini. Semoga roh abah ditempatkan di tempat yang terpuji yang dijanjikan oleh Illahi untuk muslimin yang sejati. Kami redha dengan perpisahan yang sementara ini. Nun di Firdausi semoga abah menanti kami dengan wajah berseri dan kita akan bertemu lagi untuk menyimpul kasih sayang yang kekal abadi.....

1 comment:

  1. al-fatihah...itu hadiah yg paling berharga dr seorang anak...

    ReplyDelete

 
© 2009 | Template designed by Yiedpozi @ Yiedpozi [Dot] Info