Saturday, January 9, 2010

FARA WAHIDA

Peristiwa ini telah lama berlalu…. telah menjadi suatu kenangan pahit dan juga suatu pengalaman bagiku sebagai seorang pendidik. Bila teringatkan peristiwa ini rasa kesalku tak pernah berkesudahan. Aku akan menangis dan merasa amat bersalah walaupun sudah 13 tahun ianya berlalu. Fara Wahida..... gadis comel yang manja dan ramah tamah ini ditakdirkan menjadi murid kesayanganku. Waktu itu umurnya baru menginjak 14 tahun dan belajar dalam tingkatan 2 Dinamik. Sebagai seorang guru aku amat menyenangginya kerana kesungguhan dan minatnya dalam Kemahiran Hidup.
Setiap kali sessi pembelajaran teori mahupun amali, Fara tidak pernah ponteng kelas. Dia akan tekun mendengar pengajaranku dan bersemangat menjalankan amali KH. Aku amat rapat dengan Fara kerana dia sentiasa menghulur bantuannya jika ku perlukan pertolongan. Dia akan ke bilik guru menghantar buku-buku latihan pelajar kelasnya ke mejaku. Kadang kala dia akan lewat pulang kerana menolongku mengemas bengkel bila selesai sessi amali. Aku sangat sayangkan Fara bukan kerana dia rajin tetapi menurut kata.
Melalui guru kelasnya baru ku tahu rupa-rupanya Fara menderita sejenis penyakit . Kami semua tidak dijelaskan keadaan sebanar Fara oleh orang tuanya. Aku mula menyelidikki latar belakang Fara daripada kawan-kawan rapatnya memandangkan dia terlalu berahsia. Kesian Fara, rupaya dia baru saja menjalani satu pembedahan diperutnya. Rambut dan bulu kening Fara gugur kerana kesan sampingan ubat yang diambilnya setiap hari sebagai rawatan susulan. Namun Fara tetap bersemangat dan ceria.
Waktu lapang aku suka berbual denga Fara. Dia bijak berkata-kata dan pandai mengambil hati. Aku benar-benar rasa dihargai bila Fara menginggati tarikh lahirku dan mengucapkan selamat hari lahir cikgu. Ku tahu sesuatu yang mustahil untuk dia memberikan aku hadiah kerana Fara datang dari keluarga yang agak susah. Ibubapanya kerja di kantin sekolah rendah berdekatan.
Sesuatu yang aku amat kagum dengan Fara ialah semangatnya. Meskipun kesihatanya tidak mengizinkan namun seboleh mungkin dia pasti hadir ke sekolah. Semua tugasan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru disiapkan olehnya. Fara bukan tergolong dalam kelompok pelajar cemerlang tetapi dia tetap mahu berusaha hasilnya setiap kali peperiksaan Fara mendapat gred B untuk KH. Aku bangga meskipun dia idak berjaya mendapat gred A. Fara juga seorang pengawas sekolah yang bertanggung jawab. Aku selalu perhatikan dia berdiri ditengah panas depan pintu pagar sekolah untuk bertugas. Kadang kala dia akan berlegar-legar di kawasan sekolah untuk memastikan para pelajar tidak membuat kesalahan disiplin.
Fara seorang murid yang baik, waktu rehat dia pasti akan singgah dulu menemuiku di bilik guru untuk bertanyakan samada aku ingin mengirim makanan atau minumanku dari kantin. Kadangkala dia akan menolongku membeli kuih dan teh ais jika aku tak sempat untuk makan di kantin.
Suatu hari, aku meminta Fara ke bilik guru mengambil kunci bengkel dari dalam laci mejaku. Aku terlalu percayakan Fara. Fara pergi seorang diri dan pulang membawa kunci bengkel. Setelah sessi amali tamat aku kembali ke bilik guru dan apabila ku buka laci meja yang berkunci...TUUUPPPP ! Dadaku diterjah rasa terkejut yang amat besar. Duit yuran sekolah yang dijelaskan oleh seorang pelajar kepadaku semalam telah hilang! Duit itu tidaklah banyak tapi aku kesal kerana telah hilang dari laci meja yang berkunci. Mustahil ianya dicuri oleh pelajar kerana laci selalu berkunci. Ku teringat pada Fara. Aku hanya memina Fara membuka laci mejaku semalam. Hari ini duit yuran telah tiada dari simpananku. Tanpa usul periksa ku laporkan kejadian ini pada seorang guru disiplin. Fara telah dipanggil dan disoal siasat oleh guru disiplin. Fara menafikan dia mencuri duit itu. Katanya dia miskin tapi tak pernah kekurangan apa-apa pun kerana ibubapanya sanggup belikan apa yang dia mahu.
Aku sebenarnya tak kisah sangat tentang duit yang hilang itu. RM20 bukanlah masalah besar sangat kerana aku sudah menggantikannya. Tetapi aku amat terkilan kerana Fara sanggup buat begitu padaku. Jika dia minta dari aku aku sedia memberikan dia duit jika dia amat perlu. Aku amat sedih, kesal dan tertipu dengan sikap Fara. Akhirnya Penyelia Petang telah memanggil Ibubapa Fara. Fara , aku dan kedua orang tuanya dipertemukan untuk menyelesaikan masalah ini. Ibu bapa Fara memina maaf daripada kami tetapi tetap menyangkal dakwaanku bahawa anaknya seorang pencuri.
Aku rasa terkedu bila ibu Fara memberitahu bahawa Fara seorang anak yang baik dan dia tak pernah meninggikan suara dengan orang tuanya apatah lagi mencuri. Aku jelaskan pada ibubapanya mungkin Fara terdesak hari itu dan dia tak berniat untuk mencuri. Tidak ada seorang pelajar pun yang diberi kepercayaan olehku untuk membuka laci mejaku kecuali Fara. Akhirnya ibu Fara menghulurkan sampul coklat yang mengandungi RM20 sebagai ganti. Kami bersalaman dan bermaafan. Fara menangis dan tidak sedikit pun merenung wajahku seperti selalu. Aku rasa bersalah dan kesian pula. Sebelum beredar ibunya sempat memberitahuku bahawa Fara selalu menceritakan padanya tentang kebaikkan ku dan betapa dia sayangkan aku sebagai guru yang paling disayanginya. Hatiku mula sebak.
Sejak peristiwa itu Fara menjauhkan diri dariku. Dia tidak lagi mempedulikan aku apatah lagi bersemangat untuk belajar. Dia menjadi amat pendiam di dalam kelas dan mula malas buat amali. Aku mohon maaf padanya serta menerangkan bahawa perbuatanya salah.
Sebulan aku cuti bersalin, sepanjang tempoh pantang aku berada dirumah. Pada suatu petang kawan baikku Cikgu Jamiah datang melawatku dirumah. Dia menyerahkan not RM20 kepadaku sambil tersenyum. Aku kehairannan . Katanya duit ini dia jumpa dibawah mejaku semasa mengemas bilik guru. Ya Allah! Aku telah memfitnah Fara. Aku menangis mengenangkan sikapku yang tanpa usul periksa telah menjauhkan Fara dariku. Cikgu Jamiah memberitahuku bahawa Fara telah kirim salam padaku dan mengucapkan tahniah diatas kelahiran aku sulungku ini. Aku terkedu.....
Kini segalanya telah berubah.... Fara sudah memaafkan aku bila aku menelefonnya. Dia tidak marahkan aku tetapi sedih kerana katanya aku tidak mempercayainya. Sejak hari itu aku tidak lagi bertemu dengan Fara kerana dia telah pun naik ke tingkatan 3 di sessi pagi. Rasa bersalah dan berdosa menghantui ku. Aku amat menyesal sekali maka aku telah menjemput Fara bertemu dan belanja dia makan makanan kegemarannya KFC depan sekolah pada suatu hari.
Walaupun Fara menunjukkan sikap yang mesra tetapi ku tahu hatinya terluka. Aku lihat Fara telah begitu matang walau setelah hampir enam bulan aku tidak mengajarnya lagi. Sebelum pulang dia mencium tanganku seperti selalu dan ku lihat ada air jernih dibirai matanya yang redup. Fara memohon untuk beredar dan melambai padaku yang masih bersedih.
Sejak Fara meninggalkan bangku sekolah aku pun ditukarkan ke sekolah lain. Suatu hari tanpa diduga ku terserempak dengan Fara di pusat membeli belah. Aku terkejut melihat perubahanya. Dia sudah jauh berubah. Ku menyapanya. Dia agak terkejut dengan kehadiranku. Dari mata hatiku aku tahu Fara tidak lagi seperti dulu seorang gadis yang santun dan lembut. Fara yang berdiri di depanku kini seorang gadis yang tanpa tudung dan mendampinggi budak-budak kutu lepak. Apa sudah jadi pada Fara? Kata Fara dia belajar di kolej swasta setelah tamat SPM dengan keputusan tak seberapa. Aku terkilan kerana begini nasib Fara yang aku sayang.
Ku lihat lenggok Fara bersama kawan-kawannya berlalu pergi sambil riuh ketawa sesama mereka. Jika bukan peristiwa itu tentu Fara tidak jadi seperti ini.... aku jadi terus dihimpit rasa bersalah teramat sangat. Kemanakah langkah Fara seterusnya selepas ini ? Ku panjat doa pada tuhan agar Fara dilindunginya.....

No comments:

Post a Comment

 
© 2009 | Template designed by Yiedpozi @ Yiedpozi [Dot] Info