Wednesday, January 13, 2010

Kasut sekolahku

Ku rasa semua orang pernah mempunyai satu memori indah di zaman persekolahan dulu. Memori itu bisa membuatkan bibir kita sentiasa tersenyum, ada kalanya mungkin boleh jadi tersentuh emosi lantaran memori itu teramat pahit barangkali…Ya aku sebenarnya mempunyai banyak memori indah di zaman kanak-kanak terutamanya di sekolah rendah. Masih ingat lagi waktu itu aku baru saja darjah satu. Oleh kerana aku memang dilahirkan dalam keluarga yang miskin tapi aku sangat suka belajar. Jika semua kawan-kawan sekelasku mempunyai beg sekolah yang besar dan cantik, satu set pensel warna 24 batang yang beraneka warnanya, buku-buku rujukan yang bagus-bagus, set stationery yang mahal-mahal tapi aku cuma ada satu beg sekolah yang kecil dan lusuh malah sudah koyak dan berlubang di bahagian bawahnya. Hampir setiap hari aku tercicir beberapa batang pensel dan pemadam lantaran alat tulis ku ini telah menerobos keluar melalui lubang beg yang ternganga itu. Namun aku kuatkan semangat. Abah bukanlah seorang yang berpangkat cuma kuli pengecop batik saja. Gajinya sekitar tidak lebih daripada RM100 seminggu. Berbekalkan gaji yang tak seberapa itulah kami dibesarkan. Namun kami tetap bersyukur kerana dapat makan 3 kali sehari seperti orang lain. Tak lebih dan tak kurang.

Aku anak sulung dan adik beradikku ramai. Malah makin bertambah selang setahun kerana mama kerap beranak dan tak tahu cara untuk merancang keluarga. Mungkin juga kerana tiada masalah semasa mengandung dan melahirkan maka kedua orang tuaku ini tidak kisah jika keluarga kami makin bertambah saban tahun meski pun wang gaji abah tidak pernah bertambah walaupun sepuluh ringgit setahun pun!
Berbalik pada kisah ku tadi…

Aku amat teruja bila menerima surat jemputan ke Hari Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang yang akan berlangsung di sekolahku pada suatu hari. Para Ibubapa dan penjaga akan dijemput untuk meraikan kejayaan anak masing-masing pada hari itu. Abah dan mama juga mendapat jemputan kerana aku salah seorang pelajar cemerlang bagi kelasku.
“ Kamu kena pakai cantik-cantik pada hari itu nanti sebab kamu akan naik ke pentas dan mengambil hadiah dari orang besar.” Kata guru kelasku Cikgu Omar.
Aku tak gembira jadinya bila teringatkan sepasang kasutku yang rabak dan terlalu lusuh. Lubang pada hujung jari kaki terlalu besar hingga menampakkan sebahagian ibu jari kaki kanan dan kiri. Kedua-dua tapak kasut pula dah menipis malah sudah pun berlubang pada bahagian tumit hingga stoking ku basah lenjun bila ku ke tandas atau hari hujan. Aku jadi gelabah kerana ini akan mencacatkan penampilanku ketika melangkah ke pentas nanti. Aku malu pada semua kawan-kawan dan guru-guru bila mereka terpandang sepasang kasut ku ini. Aku sebak dan terus menangis.
“ Ma, Kak Na dapat hadiah. Nombor satu. Sabtu depan ma dan abah abah datang tengok ye.” Suaraku seakan tersekat separuh di kerongkong saat aku meyampaikan berita gembira ini.
“ Alhamdulillah. Ma mesti pergi. Kak Na sedih kenapa?” Mamaku ceria saja. Matanya bersinar . Aku terkunci lidah.
“ Ma…Kak Na malu. Cikgu kata mesti pakai cantik. Kasut Kak na buruk.” Itu saja yang mampu aku ucapkan. Tak berani menatap wajah ibuku.
“ Tak pe. Orang bukan nak tengok kasut tapi nak tengok sapa yang dapat nombor satu. Kak Na cuci bersih-bersih kasut tu nanti tempek kapur tebal-tebal biar putih macam baru..”
“ Tapi…lubang-lubang tu nak buat lagu mana?” Aku dah kebanjiran air mata.
Mama tak berkata apa-apa pun selepas itu dan berlalu ke dapur..
……………………………………………………………………………………………………………
Suatu pagi Jumaat sehari sebelum majlis besar itu, aku bersungguh-sungguh memberus kasutku dan melumurkan kapur tebal-tebal padanya agar nampak bersih dan putih. Namun aku tidak mampu untuk menyembunyikan tapak kasut yang dah berlubang besar dan aku tak berdaya menapal hujung kasutku yang telah mendedahkan ibu jari kakiku itu. Aku sebak lagi….dan ketika aku menjemur sepasang kasut sekolahku yang satu-satunya ini di atas rumput belakang rumah abah menghampiriku dan memeluk kedua bahuku sambil berkata…

“ Kak Na…kesian kak Na. Nanti abah belikan kasut baru ya tapi bukan sekarang…”
Namun doaku dimakbulkan Allah juga. Sebelum azan Magrib abah sudah pulang membawa satu palstik besar dan meletakkan betul-betul diatas ribaku. Aku kaget. Ada dua kotak besar di dalamnya dan…ya aku pasti sekali. Memang itu kotak-kotak kasut sekolah. Wajah abah jernih dan manis sewaktu kali pertama dia menyaksikan aku menyarung sepasang kasut sekolah yang baru ke kakiku…
Aku sendiri tidak dapat berkata-kata lagi malah untuk mengucapkan terima kasih pada abah pun kerongkong ku terjerat. Hanya aku mampu mengukir senyuman pada abah dan mama. Aku tidak menyangka Allah itu pemurah benar kerana aku hanya minta sepasang kasut sekolah yan g sederhana tapi hari ini aku mendapat dua pasang kasut sekolah yang mahal dan paten baru pula. Kawan-kawan ku tentu hairan dan memuji kasutku nanti.
Pada hari bersejarah itu aku dengan langkah penuh bangga dan yakin diri tampil ke pentas untuk menerima penghargaan . Aku juga rasa selesa sekali kerana sepasang kakiku kini telah tersarung sepasang kasut sekolah yang baru dan elegent sekali. Terima kasih abah….
Abah tidak dapat hadir di hari pertama aku menerima hadiah kerana dia sukar untuk mengambil cuti. Andai abah bercuti bermakna kami akan berpuasa pada hari itu….
Setelah beberapa tahun peristiwa itu berlalu…baru aku tahu bahawa Abah telah meminjam wang dari majikannya semata-mata untuk melihat aku tidak malu untuk naik ke pantas pada hari itu. Itulah pengorbanan seorang Abah untuk anaknya…
Terima kasih Abah…..

No comments:

Post a Comment

 
© 2009 | Template designed by Yiedpozi @ Yiedpozi [Dot] Info