Sunday, June 20, 2010

SELAMAT HARI BAPA

Arwah Abah yang sentiasa dalam ingatan


Hari ini adalah hari bapa yang kedua kalinya kami sambut tanpa Abah tersayang. Sedih, sayu dan pilu pula. Aku sedih kerana sepanjang bergelar anak, aku tak pernah pun meraikan hari bapa bersama-samanya. Cuma ucapan melalui telefon sahaja yang selalu ku buat untuk mengucapkan selamat hari bapa untuknya. Hadiah? Tak pernah pun. Cuma hadiah hari ulang tahun sahaja.

Mungkin kami tak biasa dengan sambutan ini. Abah orang kampung. Apalah dia tahu tentang sambutan hari bapa. Tapi bila dia dah tiada rasa terkilan pula. Kasih sayang abah tak pernah kurang untuk kami adik beradik. Semua ayah dalam dunia ini pun mengasihi anak-anaknya lebih dari segala-galanya.

Sebak pula membaca Mingguan Malaysia hari ini. Kasih seorang bapa untuk satu-satunya zuriat kesayangannya yang kurang upaya.

Pakcik Jamil bersama anaknya Ruhani

ALOR SETAR: Seorang bapa tunggal tetap tabah memelihara anak perempuan yang menghidap Sindrom Down walaupun dihimpit kemiskinan hidup hingga terpaksa menjadikan sebuah masjid sebagai rumah mereka selepas dihalau berikutan tidak mampu membayar rumah sewa sejak empat bulan lalu. Jamil Jaafar, 50, dari Tandop, dekat sini, berkata walaupun terpaksa tinggal di masjid dan mengharap simpati orang ramai untuk mendapatkan sesuap nasi, beliau tidak sanggup berpisah dengan anak tunggalnya, Rohani yang kini berusia 5 tahun. Katanya, seminggu selepas kelahiran Rohani, isterinya Rokiah Ahmad meninggal akibat jantung berlubang.

"Arwah isteri saya menghidap penyakit berkenaan ketika mengandungkan Rohani dan keadaannya semakin teruk selepas bersalin hingga menghembuskan nafas terakhir. Sejak itu kehidupan kami tidak terurus.

"Kini kami terpaksa menumpang teduh di Masjid Al-Ghuffran di Jalan Pegawai, Alor Setar," katanya ketika di temui, di sini semalam.

Jamil berkata, keadaan Rohani yang memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa menyebabkan beliau berhenti kerja di kilang baja berdekatan rumah sewanya di Tandop hingga terpaksa mencari rezeki mengutip barang lusuh selain mengharap simpati orang ramai.

Beliau berkata, hingga kini beliau tidak pernah memohon bantuan untuk anaknya kerana tidak tahu proses berbuat demikian selain tidak berupaya pergi jauh dari kawasan masjid kerana keadaan dirinya yang uzur.

"Saya bersyukur kerana pengurusan masjid memberi kami perlindungan walaupun tahu ia mengundang pelbagai tohmahan dari masyarakat sekeliling yang menganggap kami sebagai peminta sedekah. Saya berharap ada pihak sudi membantu anak saya kerana dia semakin membesar dan perlu bersekolah bagi menjamin masa depannya apabila saya tiada nanti," katanya.

Besarnya pengorbanan Pakcik Jamil sebagai bapa. Betapa kasih kasihnya tidak dapat diukur dengan apa sekali pun. Semoga nasib beliau anak-beranak akan bertambah baik selepas ini.

Masih ramai lagi di luar sana kisah-kisah pengorbanan seorang bapa. Siapa pun mereka beliau patut disanjungi oleh semua individu yang bergelar anak.

Kepada mereka yang masih mempunyai bapa. Ayuhlah, luang masa anda walaupun sekejap untuk berada di samping insan yang terlalu luarbiasa ini. SELAMAT HARI BAPA!

No comments:

Post a Comment

 
© 2009 | Template designed by Yiedpozi @ Yiedpozi [Dot] Info